KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh agenda pembangunan di Bahagian Betong menerusi pelaksanaan 108 projek di bawah inisiatif Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) khusus bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, pelaksanaan projek tersebut membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan pembangunan infrastruktur serta sosioekonomi di kawasan luar bandar terus diperkasa.
Beliau menjelaskan, daripada keseluruhan projek yang dirancang, sebanyak 37 projek berjaya disiapkan.
Menurutnya, sebanyak 62 projek lagi kini berada pada peringkat perancangan bagi memastikan setiap pelaksanaan memenuhi spesifikasi serta kualiti yang ditetapkan sebelum kerja fizikal dimulakan.
Dalam masa sama, Chee Kadir memaklumkan lima projek sedang dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan, manakala tiga projek menunjukkan prestasi cemerlang dengan status mendahului jadual.
Bagaimanapun, beliau mengakui terdapat satu projek yang berada pada status lewat jadual kritikal dan pihak berkaitan sedang menjalankan pemantauan rapi bagi mengatasi masalah teknikal yang dihadapi.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Penyelarasan Jawatankuasa Pemandu BDDA yang dipengerusikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, semalam.
Secara keseluruhannya, BDDA meluluskan 473 projek pembangunan di seluruh Bahagian Betong dengan jumlah peruntukan mencecah RM1.46 bilion setakat Februari 2026 bagi merancakkan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi di kawasan tersebut.
