Program Kongsi Rezeki, 140 pek juadah berbuka puasa diedar di Daro

DARO: Sebanyak 140 pek juadah daging kari diagihkan kepada pengguna jalan raya pada Majlis Penyerahan Juadah Berbuka Puasa, di sini, petang semalam.

Majlis anjuran Jawatankuasa Masjid Al-Muhsiniin Daro itu, dihadiri Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi.

Juadah yang telah dimasak itu diagihkan kepada pengguna jalan raya sebagai tanda berkongsi rezeki serta memeriahkan suasana Ramadan.

Program berkenaan turut menjadi platform mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat di samping menyemarakkan amalan bersedekah sepanjang bulan Ramadan.

Dalam kesempatan yang sama, Ahmad Johnie turut menunaikan kewajipan membayar zakat fitrah melalui amil Masjid Al-Muhsiniin Daro.

Program tersebut mencerminkan semangat kebersamaan masyarakat setempat dalam menyantuni orang ramai, khususnya mereka yang masih dalam perjalanan menjelang waktu berbuka puasa.