SARIBAS: Kepimpinan di peringkat kampung perlu mengamalkan sikap keterbukaan dalam menerima pandangan serta aduan penduduk.
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata pendekatan tersebut penting bagi memastikan pembangunan komuniti dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Menurutnya, kepimpinan itu bukan sahaja lebih dihormati, malah memudahkan urusan penyelarasan kebajikan rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Kampung Supa di Dewan Futsal Kampung Supa, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas menggesa penduduk supaya tidak takut untuk menyuarakan idea dan cadangan membina.
Katanya, setiap pandangan mempunyai nilai tersendiri dan mampu menyumbang kepada pembangunan kampung secara bersama.
Mengulas lanjut, Razi berkata sambutan Aidilfitri wajar dijadikan platform untuk memperkukuh silaturahim, memupuk semangat muafakat serta membuka lembaran baharu demi kesejahteraan bersama.
Turut hadir ialah Penghulu Merawi Ais; Penghulu Abang Bawi Abang Nor; ketua-ketua kaum; Ahli Jawatankuasa Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Saribas serta ketua-ketua ranting Parti PBB.
