SPAOH: Penduduk dinasihat mengambil langkah berjaga-jaga sepanjang musim kemarau bagi mengelakkan kejadian kebakaran dan sebagainya.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, keadaan cuaca panas meningkatkan risiko kebakaran, khususnya di kawasan kediaman serta tanah terbuka, sekiranya langkah pencegahan tidak diberi perhatian serius.
Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta sentiasa memantau kawasan persekitaran bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Dalam pada itu, Uggah turut menggesa masyarakat Spaoh agar memberikan sokongan padu kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurut beliau, sokongan berterusan rakyat amat penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri serta tuntutan hak Sarawak diteruskan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Spaoh yang berlangsung hari ini.
Selain itu, beliau memaklumkan bahawa Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) memperuntukkan RM3 juta bagi membantu golongan layak membaiki rumah di Kampung Spaoh.
Pada majlis tersebut, Uggah turut menyampaikan sumbangan kepada komuniti setempat melibatkan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, masjid dan surau, selain kehadiran beberapa pemimpin tempatan yang memeriahkan program berkenaan.
Turut hadir ialah Ahli Parlimen Betong, Richard Rapu bersama isteri Datin Lucy Mary Johnson, Datin Amar Dato Doreen Mayang, Timbalan Ketua Cawangan PBB Bukit Saban Abang Madehi Abang Abdul Latip.
