Mesyuarat khas tentukan bantuan rakyat susulan kenaikan harga barang

MIRI: Kerajaan Sarawak akan mengadakan mesyuarat memperhalusi bentuk bantuan untuk disalurkan kepada rakyat susulan kenaikan harga barang dan bahan api ketika ini.

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, inisiatif tersebut sedang diperhalusi di peringkat Kabinet bagi memastikan bantuan yang disalurkan benar-benar memberi impak kepada rakyat susulan tekanan kos sara hidup yang kian meningkat.

“Kita akan bermesyuarat. Memang saya telah umumkan dalam kabinet, kita akan memberi sedikit bantuan untuk menghadapi masalah pada masa sekarang,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-60 Jubli Intan SMK Long Lama di sini, malam tadi.

Katanya, pengumuman rasmi mengenai bentuk dan mekanisme bantuan itu akan diumum sebaik sahaja perkara berkenaan dimuktamadkan.

“Kita akan umumkan selepas ini,” ujarnya lagi ringkas.

Terdahulu semasa berucap, beliau menegaskan kepentingan pendidikan sebagai keperluan dan asas kepada masa depan rakyat dalam mendepani dunia hari ini yang dipacu oleh kemajuan teknologi dan ekonomi digital.

“Kita tidak mahu anak Sarawak tercicir daripada arus pembangunan ini. Oleh sebab itu, kita semua (kerajaan), pihak sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat — perlu terus berganding bahu memastikan setiap anak diberi peluang untuk berjaya,” tambahnya.

Hadir sama Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Dr Ripin Lamat, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Dato’ Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan merangkap Patron Persatuan Sekolah Menengah Kebangsaan Long Lama, Dato Dennis Ngau, Ahli Parlimen Baram Dato Anyi Ngau.