MIRI: Kerajaan Sarawak sentiasa komited memastikan pendidikan berkualiti dinikmati semua anak Sarawak termasuk di luar bandar dan pedalaman.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini melalui projek Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) di sekolah kawasan itu.
Katanya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Lama juga salah satu sekolah yang terlibat dalam projek itu.
“Melalui inisiatif ini, kita mahu memastikan bahawa anak-anak di pedalaman tidak lagi ketinggalan dari segi kemudahan digital, teknologi dan peluang pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Makan Malam Sambutan Ulang Tahun ke- 60 SMK Long Lama, Baram di sini, malam tadi.
Abang Johari berkata, matlamat mereka jelas iaitu mahu anak-anak luar bandar dan pedalaman berdiri sama tinggi dengan pelajar di bandar, malah mampu bersaing di peringkat nasional dan antarabangsa.
Menurut beliau dalam dunia hari ini yang dipacu oleh kemajuan teknologi dan ekonomi digital, pendidikan bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan dan
asas kepada masa depan Sarawak.
“Kita tidak mahu walau seorang pun anak Sarawak tercicir daripada arus pembangunan ini,” tambahnya.
Oleh sebab itu, pihaknya mahu semua termasuk kerajaan, pihak sekolah, guru, ibu bapa dan masyarakat perlu terus berganding bahu memastikan setiap anak diberi peluang untuk berjaya.
