MIRI: Rakyat negeri ini perlu terus bekerjasama dan saling membantu bagi menghadapi kenaikan harga barang dan bahan api ketika ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, peningkatan kos ini memberi tekanan kepada ekonomi keluarga dan turut menjejaskan kesejahteraan emosi serta kehidupan seharian masyarakat.
“Dalam keadaan mencabar ini, kita memerlukan semangat kerjasama dan tolong-menolong.
“Kita bersyukur Sarawak di bawah kepimpinan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg kekal stabil, aman dan damai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Ramah-tamah Aidilfitri anjuran Persatuan Anak Jati Lawas Di Miri (PAJLDM) di sini semalam.
Tegasnya, kerajaan komited memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga barang dan bahan api ketika ini.
Menurut beliau lagi, kerajaan sebelum ini melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meringankan beban rakyat antaranya Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS).
Beliau turut menggalakkan persatuan agar bekerjasama dengan agensi kerajaan dalam melaksanakan pelbagai program pembangunan masyarakat termasuk dalam bidang pendidikan, kesihatan dan keusahawanan.
Terdahulu, Pengerusi PAJLDM Dr Narawi Abu Bakar dalam ucapan berkata, persatuan melaksanakan aktiviti kebajikan secara berterusan, khususnya dalam menyantuni pesakit yang dirujuk ke Hospital Miri.
Katanya, usaha ini menjadi antara teras utama dalam memastikan kebajikan ahli sentiasa terpelihara.
Turut hadir ialah isteri kepada Datuk Amar Awang Tengah, Dato Dayang Morliah Awang Daud, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak Sarawak Datuk Rosey Yunus dan Timbalan Datuk Bandar Miri, Ariffin Mohamad.
