KUCHING: Rakyat Sarawak dinasihat tidak panik, kekal tenang dan bersikap positif menghadapi cabaran susulan kenaikan harga minyak serta ketidaktentuan global.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
berkata, ini kerana walaupun berlaku kenaikan harga minyak di peringkat global, kesannya di Sarawak masih sederhana dan terkawal kerana kelebihan negeri ini sebagai pengeluar minyak dan gas.
“Kita tidak perlu panik, sebaliknya perlu menyesuaikan diri dengan keadaan semasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata, kenaikan kos bahan api mungkin memberi sedikit kesan kepada sektor pengangkutan dan penerbangan, namun tidak menjejaskan keseluruhan industri secara serius.
Beliau menjelaskan, mekanisme sedia ada termasuk permit khas membolehkan nelayan dan pengusaha bot pelancongan mendapatkan bekalan minyak bersubsidi tanpa masalah.
Menyentuh isu kenaikan harga tiket penerbangan, beliau menyarankan orang ramai menyesuaikan perancangan percutian bagi mengurangkan kos.
“Jika sebelum ini kita bercuti ke luar negara dua kali setahun, mungkin kali ini kita boleh kurangkan kepada sekali,” tambahnya.
Beliau juga menyarankan memilih pelancongan domestik yang secara tidak langsung membantu merangsang ekonomi tempatan.
