Pembinaan tangki air aras tinggi dalam proses lantikan kontraktor

SAMARAHAN: Pembinaan tangki air aras tinggi yang diluluskan Kerajaan Sarawak sebelum ini di kawasan Stakan dalam proses lantikan kontraktor.

Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air serta Ahli Dewan Undangan Negeri ( ADUN) Stakan Datuk Hamzah Brahim berkata, lokasi pembinaan juga dikenal pasti.

“Saya jangka pada tahun ini proses pelaksanaan akan dapat dijalankan.

“Dalam masa sama, saya berbincang dengan Kementerian untuk membuat alternatif membina tangki sementara,” katanya ketika ditemui media pada Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Pusat Khidmat DUN Stakan Samarahan hari ini.

Pembinaan tangki sementara yang ketika ini dalam proses pembinaan antara langkah jangka pendek dan amat diperlukan demi menampung keperluan lebih 5,000 rumah di Samarindah yang mengalami tekanan air rendah.

Pembinaan tangki bersaiz 4.5 mililiter (ML) membabitkan kos pembinaan sebanyak RM30 juta dilaksanakan Lembaga Air Kuching (LAK).

Projek dijangka mengambil masa 12 bulan bagi tempoh pembinaan untuk memenuhi permintaan penggunaan air terawat yang semakin meningkat dengan pesatnya di Samarindah dan Muara Tuang serta kawasan sekitar.