KUCHING: Sarawak kini sedang merancang strategi jangka panjang untuk menangani cabaran bekalan tenaga susulan ketidaktentuan global, dengan fokus utama peralihan tenaga bersih dan pembangunan sumber alternatif.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr Hazland Abang Hipni berkata, langkah ini dirancang lebih awal untuk selaras dengan dasar tenaga lestari yang menjadi keutamaan di peringkat dunia.
“Ini kerana, Sarawak mempunyai kelebihan dari segi sumber semula jadi, termasuk potensi hidroelektrik melalui sungai, tenaga solar serta pembangunan tenaga baharu seperti hidrogen hijau dan metanol, yang dapat menyokong keperluan tenaga masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Datuk Dr Hazland di Kesuma Resort, hari ini.
Menurut Dr Hazland, krisis tenaga global akibat konflik di Timur Tengah dan Perang Rusia-Ukraine menunjukkan pentingnya mengurangkan kebergantungan kepada minyak dan gas, sekaligus memperkukuh daya tahan tenaga negeri.
Beliau menambah, walaupun terdapat kebimbangan mengenai gangguan bekalan, situasi di Sarawak masih terkawal berbanding negara lain, dengan langkah kesiapsiagaan sentiasa dipertingkatkan,” katanya.
