Sarawak perhebat operasi padam kebakaran

KUCHING: Kerajaan Sarawak mempertingkat usaha memadam kebakaran susulan cuaca panas dan kering yang melanda beberapa kawasan di negeri ini, dengan tumpuan diberikan kepada lokasi berisiko tinggi.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, antara kawasan dikenal pasti sebagai titik panas ialah Kemuyang, Penasuk dan Bintulu yang kini dipantau rapi oleh pihak berkuasa.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menggerakkan helikopter bagi melaksanakan operasi pengeboman air di kawasan terjejas, khususnya di Penasuk bagi mempercepatkan pemadaman api,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Datuk Sri Julaihi Narawi dan Datin Sri Sadian Buji di sini, hari ini.

Menurutnya, kebakaran di kawasan tanah gambut seperti di Sibu amat mencabar kerana api boleh merebak di bawah permukaan tanah dan sukar dipadam sepenuhnya.

“Dalam masa sama, Jabatan Alam Sekitar (DOE) bersama Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) menggunakan dron untuk memantau kawasan berisiko seperti Kuala Baram dan Mukah bagi mengesan kebakaran lebih awal.

“Kerajaan negeri pada masa sama memantau kemungkinan gangguan bekalan air di kawasan pesisir dan pedalaman, dengan langkah pembenihan awan hanya akan dipertimbangkan sebagai pilihan terakhir jika keadaan cuaca terus berpanjangan,” katanya.