SARATOK: Isu keterjaminan sumber makanan kini menjadi agenda mendesak yang memerlukan tindakan proaktif komuniti bagi memastikan kelangsungan rantaian bekalan makanan negara yang lebih mampan dan stabil.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri menegaskan bahawa kesedaran mengenai kepentingan sumber makanan adalah kritikal kerana berkait rapat dengan kestabilan kehidupan harian masyarakat secara menyeluruh.
Perkara itu diulas susulan lawatan kerja Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), Datuk Martin Ben ke tapak Projek Stesen Sub-Makanan Haiwan di Kampung Kaba, semalam.
Menurut Mohamad Duri, komuniti Kampung Kaba pimpinan Ketua Kaum Ahmad Diwi Deli telah menunjukkan teladan cemerlang dengan menyahut seruan kerajaan untuk memperkukuh sektor agromakanan.
Langkah strategik tersebut dizahirkan melalui penubuhan koperasi khusus yang kini giat mengusahakan aktiviti penternakan ayam, itik, dan kambing secara komersial bagi menjana pendapatan.
Beliau menzahirkan rasa bangga apabila Kampung Kaba terpilih menjayakan projek berimpak tinggi yang memproses makanan ternakan berasaskan bahan mentah tempatan seperti daun nipah, sagu, dan jagung.
