SARIKEI: Kerjasama erat antara Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menjadi tunjang dalam memastikan kebajikan rakyat Sarawak terpelihara melalui pendekatan kepimpinan yang lebih terbuka, mesra rakyat dan responsif.
Ahli Parlimen Igan merangkap Ketua Cawangan Parti PBB, Ahmad Johnie Zawawi menegaskan bahawa wakil rakyat perlu sentiasa mendekati masyarakat serta bersikap terbuka dalam menerima setiap permohonan.
Menurut beliau, masih wujud persepsi dalam kalangan segelintir rakyat yang berasa segan atau takut berurusan dengan wakil rakyat, sekali gus menjadi penghalang kepada penyampaian bantuan dan masalah.
“Masih ada yang berfikir dua tiga kali datang berjumpa kerana bimbang tersalah cakap atau permohonan tidak diluluskan. Persepsi ini perlu diubah agar rakyat lebih yakin dan berani tampil menyuarakan keperluan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2026 anjuran PBB N.45 Repok di sini, semalam.
Tambahnya, setiap permohonan daripada rakyat akan diberi perhatian sewajarnya, sama ada dikemukakan melalui surat rasmi, tidak bertaip mahupun tulisan tangan, selagi kandungannya jelas dan difahami.
“Bagi saya, setiap permohonan membawa harapan besar rakyat. Justeru, ia perlu diteliti dan diberi keutamaan agar bantuan dapat disampaikan dengan lebih berkesan.
“Setiap surat yang ditulis mengandungi harapan besar untuk dibantu. Justeru, wakil rakyat bukan sekadar melayan, tetapi mesti benar-benar melayani rakyat dengan penuh tanggungjawab,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memuji komitmen Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Dato’ Sri Huang Tiong Sii yang disifatkan sebagai rendah diri, rajin bekerja serta sentiasa memberi perhatian terhadap urusan rakyat meskipun mempunyai jadual padat.
