DEBAK: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD) meneruskan usaha membaik pulih, menaik taraf dan membina semula sekolah-sekolah daif di seluruh Sarawak.
Menterinya Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha itu bagi memastikan akses pendidikan berkualiti dinikmati oleh rakyat tanpa mengira lokasi.
Katanya, penyediaan persekitaran pembelajaran lebih selesa, moden dan lengkap akan menjadi pemangkin kepada peningkatan motivasi pelajar dan guru untuk mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
“Persekitaran pembelajaran yang kondusif amat penting dalam memastikan keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran, seterusnya meningkatkan pencapaian akademik serta pembangunan sahsiah pelajar,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pecah Tanah bagi pembinaan semula bangunan daif Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Bandar, Debak di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Datuk Mohammad Razi Sitam, Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu serta Setiausaha Tetap MEITD Datu Adana Jed.
Roland Sagah menegaskan pembinaan semula sekolah tersebut yang berharga sebanyak RM17.9 juta merupakan pelaburan penting untuk masa depan generasi muda.
