Jumlah pegawai imigresen pos sempadan daerah Lawas, Ba’kelalan akan ditambah

LAWAS: Jumlah pegawai Imigresen bagi operasi kawalan sempadan di pos sempadan daerah Lawas dan Ba’kelalan akan ditambah untuk melancarkan operasi di pintu sempadan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata, jumlah pegawai yang perlu ditambah ialah di Pos Imigresen Mengkalab Trusan yang bersempadan Brunei, Pos Imigresen Merapok yang bersempadan Sabah dan Pos Imigresen Ba’Kelalan bersempadan Kalimantan, Indonesia.

Kawasan ‘No Men’s land’ ini menimbulkan beberapa kekangan dari segi pembangunan infrastruktur, terutama dalam usaha menaik taraf jalan penghubung antara kedua-dua pos kawalan, katanya kepada media di pekan Trusan dekat sini hari ini.

Terdahulu Gerawat mengadakan lawatan ke pos imigresen berkenaan untuk memahami keperluan operasi serta cabaran yang dihadapi di lapangan.

Katanya, ini berkaitan isu kawasan ‘No Men’s land’ atau tanah tidak bertuan antara pos kawalan sempadan Malaysia dan Brunei.

Lawatan itu juga membuka ruang perbincangan mengenai usaha memperkukuhkan kerjasama rentas sempadan antara agensi penguatkuasaan kedua-dua negara.

Gerawat turut diiringi Ketua Imigresen Daerah Lawas Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Abdul Raham Eli melihat sendiri pos kawalan sempadan Brunei Darussalam.

Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Pengarah Agensi Wilayah Pembangunan Utara Sarawak(NRDA) Datu Ubaidillah Latip dan wakil-wakil pejabat Residen dan Pejabat Daerah Lawas.