Syarikat Semenanjung terokai peluang kerjasama di Sarawak

KUCHING: Sarawak mengalu-alukam kerjasama jangka panjang dengan syarikat dari Semenanjung.

“Sarawak mengalu-alukan kerjasama jangka panjang yang serius, dapat mewujudkan nilai, membina kemampuan dan menyokong pertumbuhan lestari,” menurut Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Perindustrian dan Pelaburan, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Beliau berkata demikian ketika menerima lawatan syarikat-syarikat dari Semenanjung bagi meneroka peluang kerjasama dan pelaburan di Sarawak yang dianjurkan oleh InvestSarawak, di sini, hari ini.

Program sehari ini juga menghimpunkan bekas Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kepimpinan CREST, dan tokoh-tokoh industri kanan dari Semenanjung untuk perbincangan strategik bersama kementerian, agensi dan pemain ekosistem di Sarawak.

Awang Tengah berkata, lawatan ini mencerminkan minat yang semakin meningkat daripada pemain industri Semenanjung terhadap peluang di Sarawak.

“Ini dalam sektor kesihatan, pembangunan bandar, semikonduktor, teknologi digital dan pembuatan maju,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Premier Sarawak dan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Amar Prof. Dr Sim Kui Hian berkata pihaknya juga mengalu-alukan kerjasama yang boleh menyumbang kepada keutamaan Sarawak.

Katanya, ini dalam kesihatan, bandar lestari, inovasi dan pembangunan jangka panjang.

“Rangka kepakaran yang diwakili dalam delegasi ini relevan dengan hala tuju Sarawak,” katanya.

Organisasi yang mengambil bahagian termasuk UCSI Healthcare, CREST, Cnergenz Berhad, Communication 21, Think City, Clarion Malaysia, ACO Tech, Filpal dan Oppstar Berhad.