Sarawak perlukan kestabilan politik pacu ekonomi baharu

SIBU: Sarawak memerlukan iklim politik yang stabil dan kondusif bagi menjayakan industri ekonomi baharu yang sedang diusahakan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sehubungan itu rakyat negeri ini mesti kekal bersatu, saling bekerjasama dan tidak mempunyai agenda peribadi yang boleh menimbulkan perpecahan.

Katanya, Sarawak telah menempatkan dirinya dalam ekonomi baharu melalui penglibatan dalam pelbagai industri tenaga hijau seperti hidrogen dan methanol.

Beliau berkata, penglibatan dalam pengeluaran gas metanol hijau akan mempromosikan Sarawak sebagai hab industri perkapalan di peringkat antarabangsa.

Hal ini katanya, industri perkapalan hari ini sedang dalam proses transisi dari bahan api fosil kepada metanol sebagai sumber baharu untuk menjana kapal mereka.

“Dengan Sarawak kini memiliki loji metanol terletak di Bintulu, ia akan menarik minat syarikat perkapalan dari luar negara menggunakan fasiliti di pelabuhan negeri ini,” katanya semasa berucap pada Sambutan Tahun Baharu Cina SUPP 2024 dan Majlis Makan Malam Sempena Ulang Tahun Ke-65 SUPP di Hotel Kingwood, Sibu, semalam.

Abang Johari menambahkata, Sarawak telah meletakkan dirinya dalam ekonomi baharu.

Katanya, industri hidrogen juga diyakini akan berkembang pesat dengan beberapa syarikat kenderaan ternama di seluruh dunia telah beralih kepada penggunaan bahan bakar bersih itu.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah.

GAMBAR:JABATAN PREMIER