Sarawakku Sayang dekati rakyat, perkukuhkan perkhidmatan kerajaan

LIMBANG: Limbang dipilih sebagai lokasi pertama daripada 12 Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 anjuran Kerajaan Sarawak.

Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), Jabatan Premier Sarawak dalam kenyataannya berkata, program itu merupakan inisiatif berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pendekatan turun padang bagi mendekati rakyat serta memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat dilaksanakan secara lebih cekap, menyeluruh dan berkesan di peringkat akar umbi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan Program Sarawakku Sarawak 2026 Bahagian Limbang pada pukul 10.30 pagi Sabtu ini (11 April) di Kompleks Sukan Limbang.

Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Limbang akan berlangsung dari 10 hingga 12 April ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, program tersebut menjadi platform penting mendekatkan rakyat dengan pelbagai agensi kerajaan.

“Sebagai wakil rakyat, saya amat mengalu-alukan penganjuran Program Sarawak Ku Sayang ini dan merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak kerana memilih Limbang sebagai tuan rumah pertama.

“Program ini menghimpunkan pelbagai agensi kerajaan supaya rakyat dapat berurusan secara langsung dengan lebih mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program bual bicara Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di Studio UKAS hari ini.

Penganjuran program ini juga menyediakan platform Pusat Sehenti yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan daripada agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan bukan kerajaan (NGO) serta sektor swasta untuk kemudahan rakyat.

Sepanjang tiga hari penganjuran, program ini akan menampilkan pelbagai pengisian merangkumi pameran pembangunan Sarawak, kaunter perkhidmatan kerajaan, serta aktiviti komuniti yang melibatkan penyertaan masyarakat setempat.

Antara perkhidmatan yang disediakan termasuk saringan kesihatan, peluang pendidikan dan pekerjaan, khidmat kebajikan sosial, serta perkhidmatan pembayaran utiliti, saman dan premium tanah melalui pelbagai agensi yang terlibat.

Program ini turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti masyarakat seperti senamrobik, larian kesihatan (Fun Run), sukan rakyat, persembahan kebudayaan, konsert rakyat serta cabutan bertuah, sekali gus mewujudkan suasana mesra rakyat dan inklusif.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak serta Menteri-Menteri Kabinet Negeri dan Persekutuan dijangka hadir sama.

Orang ramai khususnya penduduk di Bahagian Limbang dan kawasan sekitarnya adalah dijemput hadir untuk memanfaatkan pelbagai perkhidmatan yang disediakan serta bersama-sama memeriahkan program ini.