KUCHING: Sarawak akan terus berusaha mendapatkan syarikat penerbangan sendiri supaya dapat mengawal laluan dan harga penerbangannya sendiri.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak bercadang untuk menawarkan penerbangan terus dari negara-negara Asia ke Kuching sebaik memiliki syarikat penerbangan sendiri.
“Oleh itu, kita memerlukan syarikat penerbangan sendiri agar boleh memiliki pengembara terus dari Korea ke Kuching, Jepun ke Kuching dan termasuk negara-negara Asia lain.
“Perkara ini akan memanfaatkan banyak pihak terutamanya dalam industri pelancongan,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perasmian Hotel Sheraton di Kuching, malam tadi.
Beliau menjelaskan, syarikat penerbangan ini nanti dapat menyelesaikan masalah kenaikan harga tiket penerbangan terutamanya pada musim perayaan yang sering dihadapi rakyat Sarawak terutama pelajar yang menuntut di luar Sarawak.
Tambahnya, ia sekali gus dapat menjadikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan ketika musim perayaan.
Menurut Abang Zohari, model perniagaan syarikat penerbangan ini nanti akan berbeza dengan model perniagaan yang normal.
“Kita akan mengira pulangan pelaburan (ROI) tetapi untuk syarikat penerbangan ini, Sarawak menganggap pelaburan ini umpama ‘jambatan’ untuk menghubungkan kepulauan ini dengan pihak luar berkunjung ke Sarawak,” katanya.
Hadir sama Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.