Jalan SK Muara Payang bakal dilaksana dalam tempoh 24 bulan

KUCHING: Projek Jalan SK Muara Payang bernilai RM47 juta di Sarikei akan dilaksanakan dalam tempoh 24 bulan.

Ini setelah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, merangkap Pengerusi Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) mempengerusikan Mesyuarat Penyerahan Tapak projek tersebut hari ini.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak bertindak sebagai agensi pelaksana projek,” menurut kenyataan itu.

Infrastruktur projek ini bakal merangkumi kawasan dari Kampung Bugis dan Bukit Huang sehingga ke Skim Muara Payang yang bertujuan menyediakan akses jalan raya yang lebih baik dan sempurna.

“Ini bukan sahaja bagi memudahkan urusan harian penduduk, tetapi juga memberi impak positif yang meluas terhadap sosioekonomi masyarakat,” tambahnya.

Melalui jaringan perhubungan yang lebih efisien, potensi ekonomi di kawasan sekitar dapat diperkasakan, sekali gus meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan penduduk di sepanjang jajaran projek tersebut.