Program Rakan Komuniti TEGAS rapat jurang maklumat FTES luar bandar

KUCHING: Program Rakan Komuniti Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) memainkan peranan langsung memastikan kejayaan pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES).

Menteri Pengangkutan (Udara dan Jalan) merangkap Timbalan Pengerusi TEGAS, Datuk Dr Jerip Susil berkata FTES adalah satu bentuk bantuan pendidikan merupakan reformasi dasar yang mengubah landskap akses pendidikan tinggi di Sarawak secara menyeluruh hingga ke peringkat akar umbi.

“Peluang melanjutkan pengajian ke
peringkat universiti tidak lagi ditentukan oleh kemampuan kewangan semata-mata, tetapi berasaskan potensi dan keupayaan anak-anak Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penutupan Program Rakan Komuniti TEGAS 2026 di Tegas Digital Village.

Dr Jerip berkata dalam konteks ini, guru kaunseling memainkan peranan dalam
memastikan maklumat mengenai FTES ini sampai kepada pelajar dan ibu bapa, khususnya di kawasan luar bandar yang sebelum ini berdepan kekangan akses maklumat.

“Program seperti ini memperkukuh keupayaan kita untuk merapatkan jurang tersebut, sekali gus memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada menikmati manfaat dasar yang telah disediakan oleh Kerajaan Sarawak,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TEGAS, Udin Bujang berkata Program Rakan Komuniti TEGAS telah
dilaksanakan mengikut zon iaitu bermula di Sibu pada 2 dan 3 Mac 2026, diikuti di Miri pada 9 dan 10 Mac 2026, dan kemuncaknya di sini.

“Sepanjang penganjuran program ini, para peserta yang terdiri daripada guru-guru kaunseling telah mengikuti pelbagai sesi libat urus bersama TEGAS, Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak (MEITD), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS),” katanya.

Menurutnya penyertaan Swinburne University of Technology Sarawak, Curtin University Malaysia, University of Technology Sarawak, i-CATS
University College, Centre for Technology Excellence Sarawak (CENTEXS) dan Kolej Laila Taib membuka ruang kepada guru melihat kemudahan pembelajaran, program akademik serta peluang laluan pendidikan tersedia untuk pelajar Sarawak.

Beliau berkata selain itu, peserta turut didedahkan dengan taklimat peluang pendidikan tinggi serta laluan pembangunan bakat pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).