KABONG: Ketua kaum dan tuai rumah yang masih berkhidmat serta baharu dilantik diingatkan supaya memegang amanah dengan tanggungjawab demi kepentingan rakyat serta kesejahteraan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, jawatan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) bukan satu keistimewaan atau kedudukan dibanggakan, sebaliknya amanah yang menuntut kejujuran, komitmen dan integriti tinggi.
Menurutnya, pemimpin akar umbi berperanan penting sebagai jambatan pertama antara kerajaan dan rakyat, justeru kebajikan masyarakat perlu sentiasa diutamakan berbanding kepentingan peribadi.
Dalam ucapannya, beliau menekankan empat perkara utama yang perlu dijadikan pegangan iaitu berlaku adil dan saksama, rajin turun padang, menjaga adat serta keharmonian kampung, selain menyampaikan maklumat tepat kepada rakyat.
Katanya, pemimpin masyarakat tidak seharusnya menunggu aduan diterima, sebaliknya perlu proaktif mengenal pasti masalah setempat dan mencari penyelesaian segera demi kesejahteraan penduduk.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sekalung Budi Sempena Persaraan Ketua Kaum dan Tuai Rumah Daerah Kabong di Pejabat Daerah Kabong semalam. Hadir sama dihadiri isterinya, Datin Meryani Yassin.
Pada majlis sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima sijil persaraan atas jasa bakti mereka, selain penyampaian sumbangan insentif pendidikan RM1,000 kepada Presyila Ceceilia Adam bagi mengikuti lawatan akademik ke Yogyakarta.
