KUCHING: Jabatan Pendidikan Sarawak (JPS) akan memperluaskan program pembangunan robotik ke seluruh negeri tahun ini, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Ing.
Beliau berkata, perluasan program itu melibatkan 30 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), 60 sekolah dengan penyertaan seimbang antara sekolah rendah dan sekolah menengah.
Apabila membicarakan mengenai robotik dan STEM, Sarawak sedang menentukan kedudukannya untuk masa hadapan, katanya pada majlis penyerahan kit robotik sempena Program Pembangunan Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) Peringkat Sarawak Tahun 2026 dan Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Sektor Pembangunan Murid Tahun 2025 di sini hari ini.
Hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datu Adana Jed dan Pengarah Pendidikan Sarawak, Omar Mahli.
Beliau berkata, hari ini, Sarawak bukan lagi sekadar peserta dalam arena robotik kebangsaan tetapi kini muncul sebagai peneraju yang mencorakkan kejayaan.
Sementara itu, Omar Mahli dalam ucapan aluannya berkata, Sarawak mencipta sejarah dengan muncul sebagai juara keseluruhan sebanyak 10 kali dari 2014 hingga 2025 — satu pencapaian luar biasa yang mencerminkan kekuatan sistem, kualiti bimbingan guru, serta potensi luar biasa pelajar Sarawak.
“Namun, bagi kita di Sarawak, kejayaan bukanlah titik akhir, sebaliknya merupakan titik permulaan untuk melangkah lebih jauh,” katanya dan percaya kejayaan dicapai melalui semangat Segulai Sejalai — bergerak bersama, maju dalam kesatuan, dan berkongsi aspirasi yang sama.
Peluasan program, tambahnya, merupakan satu komitmen bahawa tiada seorangpun anak di Sarawak akan ketinggalan dalam arus teknologi dan inovasi.
Dengan peruntukan kira-kira RM300,000, usaha ini mencerminkan satu pelaburan strategik dalam membangunkan bakat masa depan dengan setiap sekolah akan menerima kit robotik berteknologi tinggi, guru-guru akan diperkasa melalui latihan berstruktur dan ekosistem pembelajaran STEM akan diperkukuh secara menyeluruh, katanya.
“Jika program robotik melambangkan masa depan yang ingin kita bina, maka pengurusan cemerlang merupakan asas yang memastikan masa depan tersebut menjadi kenyataan,” tegas beliau.
Sarawak mempunyai segala yang diperlukan untuk menjadi peneraju dan mempunyai dasar yang jelas, kepimpinan yang kukuh, serta komuniti pendidikan yang komited dan terus mara tanpa henti, katanya.
