KUCHING: Orang ramai digalak menggunakan teknologi untuk menjadikan membaca sebagai budaya dan amalan harian.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Rahman Junaidi berkata ini kerana dalam era digital, teknologi mengubah cara berinteraksi dengan maklumat dan budaya membaca kini sering digantikan dengan budaya menatap skrin tanpa arah.
“Marilah kita bersama-sama menjadikan membaca sebagai satu amalan harian. Gunakanlah teknologi sebagai alat untuk memperkaya ilmu, bukan sekadar hiburan semata-mata,”katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Jom Baca Bersama 10 minit yang juga dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Pustaka Negeri, Japri Bujang Masli di Pustaka Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Dr Rahman berkata, program seperti ini amat penting untuk mengingatkan masyarakat bahawa membaca bukan sahaja satu keperluan, tetapi kekuatan yang membuka minda, memperluas perspektif, dan membentuk pemikiran kritis.
Tambahnya, ini asas kepada pembinaan masyarakat berilmu dan berdaya saing dan tanpa budaya membaca yang kukuh, sukar bagi sesebuah bangsa untuk maju dan bersaing di peringkat global.
