Sarawak harap temasya SUKMA Ke-22 di Selangor diterus

KUCHING: Sarawak dijangka membangkitkan isu Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-22 secara tidak rasmi pada lawatan Menteri Belia dan Sukan ke negeri ini.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, lawatan Dr. Mohammed Taufiq Johar itu akan meninjau beberapa kemudahan sukan di sini.

Katanya, ini termasuk Stadium Sarawak dan Stadium Perpaduan Petra Jaya serta menghadiri program turun padang ke Kampung Semeba di sini.

“Isu SUKMA dijangka turut dibangkitkan secara tidak rasmi sepanjang lawatan tersebut,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, ini berikutan keputusan sama ada SUKMA itu akan diterus atau ditangguh bergantung kepada kementerian terbabit serta Kerajaan Selangor selaku tuan rumah.

Menurutnya, Sarawak berharap temasya SUKMA Ke-22 itu di Selangor dapat diteruskan seperti dirancang.

Ini mengambil kira persiapan menyeluruh kontinjen Sarawak termasuk logistik, tempahan penginapan serta latihan atlet lebih awal serta sebahagian mereka dihantar menjalani latihan di luar negara sebagai persediaan.

“Jika ditangguhkan, ada antara mereka mungkin tidak dapat menyertai kerana had umur SUKMA adalah 21 tahun,” katanya.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mencadangkan agar penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 ditangguhkan baru-baru ini.

Katanya, ini sehingga krisis semasa di Asia Barat selesai dan pembinaan semula Stadium Shah Alam siap sepenuhnya.