Kisah pengorbanan pejuang Sarawak dibukukan, sumber inspirasi generasi muda

SIBU: Kisah getir dan pengorbanan generasi awal pejuang masyarakat serta politik Sarawak yang sekian lama terpendam akhirnya didokumentasikan dalam sebuah buku, yang disifatkan sebagai sumber penting untuk membentuk jati diri generasi muda.

Buku bertajuk ‘Secebis Kisah Perjuangan Bangsa; Ikhlasnya Pengorbanan, Indahnya Kemerdekaan’ karya Allahyarham Hamdan Marais atau lebih dikenali sebagai Pak Den itu menghimpunkan pengalaman peribadi, kenangan serta temu bual yang menggambarkan cabaran dilalui tokoh terdahulu dalam membangunkan komuniti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata, kandungan buku tersebut membuka gambaran realiti sukar yang dihadapi generasi awal, termasuk berdepan penghinaan, ancaman dan kehilangan harta benda demi kepentingan masyarakat.

“Perjuangan yang mereka lalui bukan mudah. Ramai berdepan penghinaan, dikejar malah kehilangan harta demi masyarakat. Semua ini dilakukan dengan penuh keikhlasan dan komitmen,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku bertajuk ‘Secebis Kisah Perjuangan Bangsa; Ikhlasnya Pengorbanan, Indahnya Kemerdekaan’ karya Allahyarham Hamdan Marais di sini, hari ini.

Hadir sama, isteri Timbaln Perdana Menteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir, Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapa’ee serta tetamu kenamaan lain.

Katanya, penerbitan itu wajar dijadikan rujukan khususnya kepada golongan muda, termasuk mereka yang terlibat dalam kepimpinan masyarakat dan perkhidmatan awam.

“Buku ini menunjukkan bagaimana generasi terdahulu berusaha membawa perubahan, memajukan komuniti serta menyatukan masyarakat berbilang latar belakang,” katanya.

Fadillah mengakui proses menghasilkan buku berkenaan bukan mudah kerana banyak kisah tidak didokumentasikan secara sistematik dan hanya tersimpan dalam ingatan individu.

Beliau turut mengumumkan sumbangan sebanyak 5,000 naskhah buku untuk diedarkan ke sekolah dan institusi komuniti di seluruh Sarawak.

“Ini bertujuan memastikan generasi muda dapat memahami pengorbanan serta sumbangan yang membentuk masyarakat hari ini,” ujarnya.