Bersih kawasan rumah cegah wabak denggi

SIMANGGANG: Penduduk kampung di sini dinasihatkan membersihkan kawasan persekitaran rumah bagi mencegah penyebaran wabak denggi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor menasihatkan penduduk kampung supaya tidak mengharapkan pihak berkuasa untuk membersihkan persekitaran rumah mereka.

“Saya nasihatkan penduduk di sini meluangkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari membersihkan kawasan rumah bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri gotong-royong ‘Cegah Denggi’ di Kampung Hulu di sini.

Dayang Noorazah berkata, kegagalan penduduk membersihkan persekitaran rumah menjadi punca utama kepada pembiakan aedes, sekali gus menyebabkan penyebaran demam denggi.