Persidangan Media Pertama, HAWANA 2024 Sarawak bakal diadakan Mei depan

KUCHING: Seramai 300 wartawan dari Semenanjung Malaysia termasuk Sarawak dijangka menghadiri Persidangan Media Pertama sempena Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, persidangan itu akan berlangsung mulai 26 hingga 27 Mei di Hotel Pullman.

Manakala, HAWANA 2024 akan berlangsung di pusat beli-belah Plaza Merdeka mulai 25 hingga 27 Mei depan.

“HAWANA 2024 dan Persidangan Media Sarawak 2024 antara platform pendedahan kepada pengamal media berhubung perkembangan terbaharu yang berlaku di Sarawak. 

“Dengan ini, mereka lebih memahami suasana masyarakat dan juga suasana politik kita yang stabil serta perancangan pembangunan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia hari ini. 

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee dan Pengarah Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) Samuel Simon.

Acara kemuncak HAWANA ialah pameran yang berkonsepkan paparan perjalanan, pengalaman dan pengorbanan warga wartawan sejak sekian lama untuk dikongsikan kepada orang awam. 

Abdullah berkata, topik-topik berhubung cabaran dalam era digital dan bagaimana maklumat antara masyarakat dan kerajaan akan dipaparkan.

Perdana Menteri Dato Sri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak dijangka hadir menyempurnakan Majlis Perasmian HAWANA 2024.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dijadual hadir di Majlis Makan Malam di Hotel Riverside Majestic pada 26 Mei depan.