KUCHING: Sarawak memperkenalkan bentuk penghargaan baharu untuk penjawat awam yang berkhidmat di institusi penjagaan menerusi bayaran insentif khas RM200 sebulan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ini khusus bagi mereka yang menjaga warga emas serta golongan rentan di negeri ini.
Katanya, pelaksanaan insentif itu turut mengambil kira garis panduan di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2024 (Lampiran E4-U40) yang berkaitan pemberian insentif kepada petugas penjagaan di institusi kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
‘’Dasar tersebut juga melibatkan pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang menjalankan tugas secara langsung dalam aspek penjagaan dan rawatan penghuni institusi seperti warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit mental,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Bayaran Insentif Penjagaan Warga Emas kepada Pegawai Perkhidmatan Awam di Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching, di sini hari ini.
Tambah Fatimah, inisiatif seumpama itu sebelum ini belum pernah dilaksanakan secara khusus di peringkat negeri bagi penjawat awam Sarawak yang berkhidmat dalam sektor penjagaan institusi kebajikan.
Langkah ini katanya merupakan pengiktirafan kepada pengorbanan dan komitmen tinggi petugas di lapangan.
‘’Pada masa sama, ia menjadi dorongan untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan yang lebih efisien, berdisiplin dan berperikemanusiaan,” katanya.
Dalam pada itu katanya lagi, insentif tersebut turut melibatkan pelbagai kategori jawatan di pusat jagaan warga emas termasuk Pembantu Pembangunan Masyarakat, Pembantu Operasi, jururawat serta jururawat masyarakat mengikut bidang tugas masing-masing.
