KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, hari ini menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Pingat dan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak kepada seramai 148 penerima.
Istiadat tersebut berlangsung di Dewan Besar, Astana Negeri Sarawak.
Majlis dimulakan dengan pengurniaan Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Cemerlang (P.P.C) kepada Residen Bahagian Sri Aman, Mahra Salleh.
Seterusnya, Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) dikurniakan kepada Ketua Pegawai Perbankan Perniagaan Bank Rakyat, Mohamad Shiblie Abang Sapuan, Ida Rohana Othman dan Susan Clement Ingun.
Istiadat diteruskan dengan Pengurniaan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) kepada Pengurus Besar CENTEXS Commercial Sarawak, Mohamad Shahren Mohamad Yusri dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water Sdn Bhd, Ir. Ts Daniel Punang serta penerima lain.
Selain itu, Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) turut dianugerahkan kepada beberapa penerima termasuk Leftenan Kolonel Ismanizam Ismail, Mejar Chester Richard, Mejar Muhammad Adam Carlos Rakem, Amrizan Madian, Freda Mathew Manggi dan Anthony Ungop.
Seramai 13 penerima dikurniakan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Ahli Bintang Sarawak (A.B.S), manakala 21 penerima menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K).
TYT turut mengurniakan Pingat Pentadbiran Awam, Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) kepada beberapa penerima termasuk Sub Inspektor Jimmy Ja-ih, Idris Hassan, Luhat Ajang dan Zaini Morshidi.
Sementara itu, Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak, Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) mencatat jumlah penerima tertinggi iaitu seramai 41 orang dalam istiadat kali ini.
Turut hadir ialah isteri Yang di-Pertua Negeri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus ,Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan II, Dato Majang Renggi serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi & Pembangunan), Dato Sri Dr. Muhammad Abdullah Zaidel. – PENERANGAN
