TINJAR (Baram): Projek naik taraf jalan dari Long Aya ke Long Sobeng akan memberi manfaat kepada lebih 2,714 penghuni di rumah panjang di sini.
Rumah panjang tersebut ialah Long Aya, Long Sobeng, Long Dunin, Long Pejawai, Long Aton, Long Nuah dan Long Puah.
Projek tersebut membabitkan kos RM133.4 juta.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jalan yang dijangka siap dalam tempoh 30 bulan itu membuka peluang pembangunan dan pertumbuhan ekonomi penduduk kampung sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.
Jajaran projek merangkumi laluan dari Long Aya ke Long Sobeng, Tinjar dengan anggaran panjang sekitar 35 kilometer (km) mengikut piawaian Jalan Raya JKR R1, katanya pada upacara pecah tanah Projek Cadangan Bagi Menaiktaraf Jalan Sedia Ada dari Simpang Lapok ke Long Puoh, di sini.
Beliau yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, projek berkenaan turut melibatkan pembinaan empat jambatan komposit keluli iaitu Jambatan Sungai Aya sepanjang 40 meter (m), Sungai Sepidik (54 m), serta dua jambatan di Sungai Sobeng masing-masing sepanjang 30 m.
Projek ini turut memperkukuh hubungan dalam kawasan Telang Usan dengan meningkatkan akses kepada perkhidmatan asas seperti pendidikan dan kesihatan.
Projek ini merupakan salah satu inisiatif Agensi Pembangunan Tanah Tinggi (HDA) di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
Hadir sama Ahli Parlimen Baram Datuk Anyie Ngau, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dato Dennis Ngau, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Ismawi Ismuni dan Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak Dominic Nyurang Ajang.
