Perkhemahan Perdana KRS, TKRS pupuk semangat kerjasama murid

MATU: Seramai 215 murid menyertai program Perkhemahan Perdana Kadet Remaja Sekolah (KRS) dan Tunas Kadet Remaja Sekolah (TKRS) Peringkat Sarawak 2026, di sini, hari ini.

Sepanjang program peserta terbabit aktiviti berpasukan seperti pertandingan Bantu Mula, Gajet Perkhemahan dan Tali Temali yang dirangka khusus bagi memupuk semangat kerjasama, berdikari serta meningkatkan motivasi dan keyakinan diri.

Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi merasmikan majlis penutupan perkhemahan itu yang dianjurkan Jabatan Pendidikan Sarawak bersama pengelola, Pejabat Pendidikan Daerah Daro dengan kerjasama Sekolah Kelompok Zon Tg. Jol dan Sekolah Kelompok Zon Tg. Alan.

Program tersebut juga melibatkan penyertaan 64 guru pengiring, 12 sekolah menengah dan 22 sekolah rendah serta 12 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negeri.

Dalam ucapannya, Ahmad Johnie berharap peserta menjadikan segala ilmu kelangsungan hidup, disiplin perbarisan serta nilai setiakawan dipelajari sepanjang perkhemahan sebagai bekalan penting masa depan.

Beliau turut menegaskan bahawa semangat dalam diri setiap ahli KRS dan TKRS merupakan cerminan kepada generasi pewaris kepimpinan negara masa hadapan.