Sarawak Water diarah siasat aktiviti sambungan air haram di Sebangan

SEBUYAU: Sarawak Water diarah menjalankan siasatan segera berhubung kehilangan kira-kira tujuh juta liter padu air bersih yang menjejaskan tekanan bekalan air ke kawasan Sebangan.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi berkata, kehilangan air berkenaan dikesan beberapa hari lalu dan dipercayai berpunca daripada aktiviti sambungan haram atau ‘water tapping’ di sepanjang saluran bekalan utama.

“Bekalan air ini bukan percuma, di mana Sarawak Water menyalurkan air ini kepada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).

“Jika terdapat pihak lain yang mengambil secara haram, perkara itu sememangnya tidak wajar kerana boleh menjejaskan pengguna lain. Sehubungan itu, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak Projek Pembinaan Sistem Akut Sebangan di Lubok Meranti, di sini, hari ini.

Tambahnya, loji rawatan air Batu Kitang ketika ini mampu membekalkan sebanyak 45 juta liter sehari, namun jumlah itu menurun kepada 38 juta liter susulan isu kehilangan bekalan berkenaan.

Sehubungan itu, beliau turut meminta pihak industri yang beroperasi di kawasan sekitar Samarahan supaya berdaftar dengan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) bagi mendapatkan bekalan air secara sah.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata projek Sistem Akut Sebangan kini telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 61 peratus.

Katanya, projek bernilai RM12 juta itu dijangka siap sepenuhnya pada Julai tahun depan.

“Ia melibatkan pembinaan loji rawatan air baharu berkapasiti 5 juta liter sehari dan pemasangan saluran paip baharu sejauh 11 kilometer.

“Apabila siap kelak ia akan memanfaatkan 735 isi rumah di Sebangan,” jelas beliau.