KUCHING: Penganjuran Kejohanan Futsal Piala Presiden Saberkas Sarawak 2026 (SABERKAS) dilihat sebagai saluran berkesan memperkukuh perpaduan serta membina disiplin dalam kalangan belia di negeri ini.
Setiausaha Agung SABERKAS merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, penglibatan aktif belia dalam program seumpama itu mencerminkan komitmen tinggi generasi muda dalam memupuk semangat kerjasama dan perpaduan.
Menurut beliau, kejohanan yang dianjurkan berjayamenghimpunkan penyertaan belia dengan tahap disiplin serta komitmen tinggi sepanjang program berlangsung.
“Kejohanan ini bukan sahaja berjalan lancar, malah berjaya membentuk hubungan yang lebih erat dalam kalangan ahli Saberkas, khususnya belia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Penutupan Kejohanan Futsal Piala Presiden SABERKAS 2026 di Arena Sukan Kuching hari ini.
Tambah beliau, kejayaan penganjuran tersebut adalah hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk jawatankuasa penganjur yang disifatkan profesional dalam mengurus program berskala besar.
Beliau turut menegaskan bahawa SABERKAS kekal komited memperkasa pembangunan belia melalui pelaksanaan program sukan secara berterusan di peringkat bahagian.
Dalam masa sama, beliau menekankan peranan penting belia sebagai pelapis kepimpinan masa depan negeri.
“Belia hari ini merupakan pewaris kepimpinan negeri dan perlu terus diperkasa agar mampu menyumbang kepada pembangunan Sarawak,” ujarnya.
Dalam kejohanan tersebut, SABERKAS Cawangan Bukit Semuja muncul juara dan membawa pulang RM7,000 berserta piala dan pingat, SABERKAS Cawangan Satok naib juara untuk menerima RM5,000, manakala SABERKAS Cawangan Lingga dan Pelagus masing-masing di tempat ketiga bersama dengan hadiah RM3,000, piala dan pingat.
