KUCHING: Projek pembinaan Pusat Seni Persembahan negeri ini berjalan lancar dan dijangka siap pada suku kedua tahun 2027.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, projek tersebut menjadi pemangkin kepada penganjuran acara bertaraf besar di Sarawak.
Katanya, walaupun berlaku sedikit kelewatan berbanding jadual asal, pihaknya berpuas hati dengan kemajuan projek tersebut.
Menurut beliau, kemudahan baharu itu akan menawarkan kapasiti penonton lebih besar berbanding auditorium sedia ada, selain dilengkapi sistem akustik.
“Penganjuran banyak acara pada masa ini diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN), Muzium Budaya Borneo , dan kadang-kadang kita mengaturkannya di tempat-tempat lain seperti di Blessed Centre, Amphitheater dan auditorium Majlis Perbandaran Kuching Selatan (MPKS).
“Jadi dengan adanya Pusat Seni Persembahan nanti, ia akan lebih teratur dengan penganjuran acara besar m,” katanya selepas menghadiri Majlis Penutupan ‘Born To Dance International Competition’ 2026, di Muzium Budaya Borneo, hari ini.
Mengulas perkembangan sektor pelancongan negeri, beliau menegaskan bahawa usaha memperbanyakkan acara merupakan strategi penting dalam memastikan Kuching kekal sebagai bandar raya dinamik dan tidak ‘membosankan’.
