KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) mengagihkan sebanyak 11,900 pek makanan Sumbangsih Gawai Dayak 2026.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Gawai Dayak 2026 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata sebanyak 11 agensi keselamatan dan penguatkuasa akan menerima sumbangan tersebut.
“Sebanyak enam jenis produk disediakan pada pek makanan iaitu pek makanan sedia makan, kuih deram; kacang conflake; mi kolok; minuman kopi 3 dalam 1; dan minuman teh 3 dalam 1,” katanya.
Beliau berkata agensi penerima sumbangan itu ialah Angkatan Tentera Malaysia (4,000 pek), diikuti Polis DiRaja Malaysia (2,400 pek), Jabatan Bomba dan
Penyelamat Malaysia (1,550 pek), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (1,050 pek) Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (750 pek), Jabatan Imigresen Malaysia (550 pek) Jabatan Pengangkutan Jalan (550 pek), Jabatan Penjara Malaysia (450 pek), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (250 pek), Jabatan Sukarelawan Malaysia (250 pek) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (100 pek).
Menurutnya, sukarelawan dari agensi penerima bersama warga JWKS melakukan pembungkusan pek makanan itu di Wisma Wanita di sini mulai 11 hingga 13 Mei lalu.
