KUCHING: Lebih RM14 juta disalurkan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) kepada usahawan Sarawak sepanjang tahun 2025.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Dr. Malcolm Mussen Lamoh berkata, langkah itu bagi memperkukuhkan pembangunan keusahawanan menerusi program pembiayaan dan latihan.
“Di bawah program keusahawanan kementerian, sebanyak RM6 juta disalurkan kepada 579 usahawan menerusi beberapa inisiatif utama.
“Inisiatif termasuk Geran Usahawan Teknikal dan Vokasional, Geran Graduan Ke Arah Keusahawanan, Skim Kredit Mikro Sarawak serta Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana,” katanya semasa menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Tambahnya, dari jumlah itu, seramai 327 usahawan menerima Geran Usahawan Teknikal dan Vokasional bernilai RM2.5 juta, 218 menerima Geran Graduan Ke Arah Keusahawanan dengan bantuan RM1.9 juta.
Manakala, 26 menerima bantuan Skim Kredit Mikro Sarawak berjumlah RM660,000 dan lapan penerima mendapat manfaat daripada Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana bernilai RM980,000.
“SEDC turut melaksanakan program pembiayaan kewangan di bawah Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri.
“Program melibatkan peruntukan RM8.4 juta kepada 65 usahawan,”jelas beliau lagi.
Daripada jumlah itu, 62 menerima Skim Pembiayaan Kontraktor Kecil Bumiputera bernilai RM8.4 juta, manakala tiga lagi menerima bantuan Program Pembangunan Usahawan Kotej berjumlah RM30,000.
Pelaksanaan program tersebut turut memberi manfaat kepada 41 penerima di Bahagian Sri Aman termasuk usahawan di Daerah Lingga.
Jelas Malcolm lagi, dalam memperkukuh kemahiran usahawan, SEDC bersama Sarawak Digital Economy Corporation, Institut Koperasi Malaysia dan Majlis Amanah Rakyat menganjurkan 122 program melibatkan 6,235 peserta.
