Pelabuhan Tanjung Embang tampung pertambahan kargo Sarawak

KUCHING: Pelabuhan Senari akan berpindah operasi ke Pelabuhan Tanjung Embang yang akan dibangunkan bagi memperkukuhkan kedudukan negeri ini sebagai hab perdagangan serantau.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini memandangkan operasi Pelabuhan Senari yang mungkin tidak dapat menampung pertambahan kargo hasil perkembangan ekonomi Sarawak.

Katanya, Pelabuhan Tanjung Embang yang dirancang kelak moden dan strategik akan terletak kira-kira 20 kilometer (km) ke arah laut dengan kedalaman antara 13 hingga 16 meter (m) bagi membolehkan kapal besar berlabuh tanpa halangan.

“Jadi (operasi pelabuhan) Senari kelak berpindah nanti,” katanya.

Selain itu, Abang Johari berkata lawatan ke tapak pelabuhan laut dalam di Miri menunjukkan pembentukan tanah baharu berlaku secara semula jadi di kawasan berhampiran dan boleh dimanfaatkan untuk pelbagai pembangunan.

Hadir sama, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Yang di-Pertua Dewan Negara Senator Dato Awang Bemee Awang Ali Basah, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki serta anak Premier Dayang Norjihan.