GEDONG: Kesedaran masyarakat Islam untuk membuat simpanan awal bagi tujuan ibadah korban semakin meningkat sekali gus membolehkan pelaksanaan ibadah itu dilakukan dengan lebih terancang dan tersusun setiap tahun.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, semakin ramai masyarakat Islam tampil melaksanakan ibadah korban hasil inisiatif simpanan bulanan secara sukarela.
Menurutnya, perkembangan tersebut bukan sahaja mencerminkan kesedaran tinggi umat Islam terhadap tuntutan agama, malah menjadi petunjuk bahawa kedudukan ekonomi masyarakat semakin baik dan stabil.
“Ia mencerminkan bahawa ekonomi kita semakin meningkat dan masyarakat mempunyai cara terbaik untuk mengorbankan haiwan.
“Contohnya seperti kakitangan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) yang membuat simpanan awal setiap bulan secara sukarela sebagai peruntukan untuk membeli haiwan,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lembu dan Daging Korban Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong di Masjid Al-Kawthar, di sini hari ini.
Premier Sarawak dalam pada itu menyifatkan amalan tersebut sebagai satu bentuk wakaf dan pengorbanan berterusan demi manfaat masyarakat.
Jelas beliau, semangat pengorbanan yang diterapkan menerusi amalan menabung sepanjang tahun itu wajar dicontohi kerana ia membuktikan kesungguhan umat Islam dalam melaksanakan ibadah dan membantu golongan memerlukan.
“Jadi sekarang nampaknya masyarakat Islam mempunyai kesedaran di mana berkorban lebih awal dengan menyimpankan dana untuk membeli haiwan apabila sampai masanya,” ujar beliau lagi.
Difahamkan, seramai 150 umat Islam di konstituensi DUN Gedong menerima manfaat daripada agihan daging korban berkenaan yang melibatkan 26 ekor lembu.
Daripada jumlah itu, Premier Sarawak menyumbangkan sebanyak 19 ekor lembu, manakala Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee dan Agrobank Sarawak masing-masing menyumbang enam ekor dan seekor lembu.
Hadir sama, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, wakil khas ADUN Gedong Dato Sri Mohamad Naroden Majais, Ahli Parlimen Batang Sadong Rodiyah Sapiee, Mufti Negeri Sarawak Datu Khalidi Ibrahim, Residen Bahagian Samarahan Mohamad Irwan Bahari Bujang dan Pegawai Daerah Gedong Jamain Wahab.
