KUCHING: Rumah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Bintawa Hilir yang sebelum ini dalam keadaan kurang selamat dan tidak selesa kini siap sepenuhnya dinaik taraf.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri berkata, dengan siapnya rumah tersebut, komuniti
boleh menggunakan tempat tersebut untuk pelbagai aktiviti
Ia termasuk dijadikan tabika kemas untuk anak- anak di kampung berkenaan.
“Projek naik taraf dilaksanakan selepas menerima permohonan daripada Penghulu dan Ketua Kaum (KK) pada 2024 susulan keadaan bangunan lama uzur.
“Antara masalah dikenal pasti sebelum ini ialah tandas rosak, dapur usang serta lantai kayu berlubang,” katanya.
Nancy berkata demikian semasa berucap di majlis ibadah Korban peringkat Parlimen Santubong di Rumah JKKK di Kampung Bintawa Hilir, di sini hari ini.
Tambah Nancy, akibat kerosakan itu, ia mendatangkan risiko keselamatan kepada kanak-kanak yang mengikuti sesi pembelajaran.
“Ia selamat digunakan oleh anak-anak Tabika Kemas serta penduduk kampung,” jelasnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada JKKK Kampung Bintawa Hilir, kontraktor serta pihak Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) atas kerjasama yang diberikan sepanjang proses pembinaan sehingga projek siap dilaksanakan.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata permohonan untuk membaik pulih atap Masjid Darul Islam Bintawa Hilir akan diusahakan dan diselaraskan bersama pihak SDO Sarawak dalam masa terdekat.
Selain itu, Nancy turut mengumumkan kelulusan peruntukan dana aktiviti masing-masing sebanyak RM8,000 kepada JKKK Kampung Bintawa Hilir dan Masjid Darul Islam Bintawa Hilir.
Dana berkenaan bagi melaksanakan pelbagai program komuniti sepanjang tahun 2026.
