Operasi penuh AirBorneo dijangka tangani isu tambang penerbangan musim perayaan

KUCHING: Kerajaan Sarawak terus mencari jalan menangani isu tambang penerbangan terutama musim perayaan termasuk mempertimbangkan pemberian subsidi dan pengoperasian penuh syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menyedari masalah sering dihadapi rakyat yang hendak pulang ke Sarawak, maka AirBorneo bakal menanganinya sebaik sahaja beroperasi sepenuhnya nanti.

“Kita (Sarawak) menyedari cabaran yang dihadapi rakyat susulan tempoh peralihan industri penerbangan menyebabkan pengurusan dan sebagainya belum dapat dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak di Kompleks UNIFOR di sini, hari ini.

Abang Johari menjelaskan, bagaimanapun kekangan itu dijangka bertambah baik apabila AirBorneo beroperasi sepenuhnya nanti dalam usaha mengurangkan beban kewangan rakyat.

Airborneo ketika ini katanya, masih berada dalam tempoh peralihan, justeru usaha menstabilkan tambang penerbangan dijangka dilakukan agar dapat dinikmati rakyat negeri ini.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Abang Johari berkata Gawai Dayak tahun ini meriah walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi semasa.

Mengulas mengenai penganjuran perarakan dan aktiviti kebudayaan oleh pelbagai kaum seperti Iban dan Bidayuh, beliau berkata usaha mempromosikan budaya tempatan kini semakin meluas melalui platform media termasuk televisyen dan media sosial.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengamal media yang turut sama menyemarakkan sambutan Gawai serta memperkenalkan kepelbagaian budaya Sarawak.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, anak Premier, Dayang Norjihan, barisan menteri dan timbalan menteri kabinet Sarawak serta tetamu kenamaan lain.