SMD Semiconductor dekati pelajar Malaysia di Korea, perkukuhkan bakat industri semikonduktor

SEOUL: Menyedari bahawa bakat merupakan asas kepada kejayaan mana-mana ekosistem teknologi, SMD Semiconductor telah menganjurkan sesi libat urus bersama Persatuan Pelajar Malaysia Korea (PPMK) baru – baru ini.

Program ini bertujuan mendekatkan SMD Semiconductor dengan generasi muda Malaysia khususnya Sarawak yang berpotensi menjadi tenaga kerja berkemahiran tinggi pada masa hadapan.

Dalam kenyataan media SMD, program tersebut selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 dan Pelan Hala Tuju Semikonduktor Sarawak 2030 untuk menjadikan Sarawak sebagai hab serantau bagi industri semikonduktor dan teknologi berimpak tinggi.

Sesi libat urus tersebut turut dhadiri Timbalan Premier Sarawak,Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) Sarawak, Datuk Malcolm Mussen Lamoh.

Turut hadir, delegasi Sarawak yang sedang mengadakan lawatan kerja ke Korea Selatan.

Sementara itu, Awang Tengah berkata, pendedahan dan pengalaman yang diperoleh pelajar Malaysia di Korea Selatan amat bernilai.

“Ia membantu pembangunan industri baharu dan sektor ekonomi masa depan Sarawak, ” katanya.