KUCHING: Sarawak menyasarkan untuk melahirkan 500,000 tenaga kerja mahir menjelang 2030 menerusi pelbagai inisiatif pendidikan, latihan teknikal dan pembangunan bakat.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, langkah itu bagi memenuhi keperluan industri berteknologi tinggi serta memperkukuh daya saing ekonomi negeri.
“Usaha itu selaras dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) yang diterajui Premier Sarawak.
“Bagi merealisasikan sasaran tersebut, kerajaan negeri telah memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), Bantuan Kewangan Khas serta Program Komputer Riba dan Baucar Buku Percuma bagi memastikan akses yang lebih luas kepada pendidikan berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan aluan Majlis Perasmian Sarawak Pesta Kerjaya dan Latihan (SCaT Fair) Ke-12 2026 di Hikmah Exchange Event Centre (HEEC) di sini hari ini.
Perasmian itu dilakukan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Menurutnya, Sarawak turut memberi penekanan kepada pengukuhan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), penguasaan Bahasa Inggeris serta pembelajaran berasaskan teknologi bagi melahirkan generasi yang bersedia menghadapi cabaran ekonomi digital.
Kementeriannya katanya, secara berterusan mengagihkan kit robotik dan inovasi moden kepada sekolah rendah dan menengah terpilih di seluruh negeri bagi memastikan pelajar, termasuk di kawasan luar bandar, mendapat pendedahan awal kepada teknologi canggih dan literasi digital.
“Pendekatan itu membuahkan hasil apabila pelajar Sarawak berjaya meraih pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan keupayaan mereka dalam bidang teknikal dan inovasi,” ujarnya.
Roland berkata, kerajaan negeri juga sedang menjalankan kajian menyeluruh mengenai Dasar Pembangunan Bakat Sarawak bagi menghasilkan pelan tindakan berasaskan data untuk memperkukuh ekosistem bakat dan memenuhi keperluan pasaran kerja masa hadapan.
Beliau berkata, graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kini semakin mendapat permintaan tinggi dalam pelbagai sektor termasuk industri berat di Samalaju, sektor maritim di Miri dan Sibu serta industri teknologi tinggi, digital dan aeroangkasa di Kuching.
“Cabaran terbesar kita adalah merapatkan jurang antara keperluan industri dan kesiapsiagaan tenaga kerja bagi menjamin kemakmuran jangka panjang Sarawak,” katanya.
Mengenai pesta itu, Roland berkata, program itu sebagai platform strategik yang menghubungkan institusi pendidikan, majikan dan pencari kerja di bawah satu bumbung bagi membuka lebih banyak peluang pendidikan, latihan dan kerjaya kepada rakyat negeri ini.
Beliau turut menggesa pelajar, graduan, pencari kerja dan ibu bapa memanfaatkan sepenuhnya pameran tersebut dengan mendapatkan maklumat berkaitan pendidikan tinggi, latihan kemahiran, peluang pekerjaan serta bantuan kewangan yang disediakan.
SCaT Fair yang mula dianjurkan pada 2012 kini menjadi antara program utama Kerajaan Sarawak dalam usaha memperkasa pembangunan modal insan dan bakat bagi menyokong agenda pembangunan negeri menjelang 2030.
