35 wartawan Sarawak sertai Ai Masterclass

KUCHING: Seramai 35 pengamal media dari seluruh Sarawak khususnya di bahagian ini menyertai program latihan“AI Masterclass: Strategic Usage, Productivity & Efficiency” yang berlangsung selama dua hari bermula semalam di sini, hari ini.

Dianjurkan oleh Business Events Sarawak (BESarawak) dengan kerjasama Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA) dan Commonwealth Journalists Association (CJA) Cawangan Sarawak, program bertujuan meningkatkan literasi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan wartawan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak Jason Tan Chin Foo berkata, kursus berkenaan bagi membantu peserta menggunakan teknologi tersebut secara berkesan dan bertanggungjawab dalam tugasan harian.

“Inisiatif itu mencerminkan komitmen organisasi dalam memperkukuh ekosistem media melalui pembelajaran berterusan dan perkongsian ilmu,”katanya dalam taklimat ringkas kepada peserta semalam.

Dalam masa sama, Presiden KDJA, Ronnie Teo berkata, AI perlu dilihat sebagai alat yang menyokong tugas kewartawanan, khususnya dalam penyelidikan dan penceritaan yang lebih berkualiti.

Sementara itu, Presiden CJA Cawangan Sarawak, Nancy Nais menyatakan kursus seperti ini dapat membantu wartawan meningkatkan kemahiran serta mengekalkan prinsip ketepatan, kredibiliti dan kepercayaan awam dalam era digital.

Inisiatif itu turut menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi destinasi berteraskan pengetahuan dan inovasi menerusi pembangunan industri acara perniagaan.