KUCHING: Kerajaan Sarawak memohon Kerajaan Persekutuan mempertimbangkan pendekatan khas terhadap pelaksanaan kuota pembelian diesel di negeri ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, langkah itu sebagai usaha membantu masyarakat luar bandar dan pedalaman yang berdepan cabaran geografi mendapatkan bekalan bahan api tersebut.
“Had pembelian diesel yang ditetapkan ketika ini perlu dinilai semula khususnya bagi penduduk di pedalaman yang terpaksa menempuh perjalanan jauh mendapatkan diesel,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Gerakan Pengguna Negeri (GPN) Sarawak di sini, hari ini.
Menurutnya, terdapat penduduk di pedalaman yang perlu menanggung kos perjalanan tinggi untuk ke stesen minyak terdekat, namun hanya dibenarkan membeli sehingga 100 liter diesel bagi setiap transaksi.
“Misalnya di Bario, untuk pergi ke stesen minyak terdekat boleh mengambil masa sehingga 15 jam, jadi kita perlu memikirkan keadaan sebenar yang berlaku di Sarawak.
“Saya berharap pertimbangan khas dapat diberikan bagi membantu rakyat yang berada dalam keadaan sedemikian,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memohon agar perkara tersebut diberikan pertimbangan khusus untuk Sarawak, terutama di kawasan yang masih bergantung kepada generator bagi bekalan elektrik serta menggunakan bot sebagai pengangkutan utama yang memerlukan diesel.
Menurut Awang Tengah, mesyuarat berkenaan turut membincangkan aduan pengguna yang diterima sepanjang tahun ini serta tindakan susulan yang perlu diambil berdasarkan laporan tersebut.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata GPN Sarawak akan mempergiat usaha penyampaian maklumat kepada masyarakat bagi meningkatkan kefahaman mengenai pelaksanaan subsidi, termasuk kaedah permohonan dan proses untuk mendapatkan bantuan yang disediakan.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri Dan Pelaburan Sarawak (MINTRED) Dato Sri Naroden Majais, Setiausaha Tetap MINTRED Datu Lester Matthew, Pengarah KPDN Sarawak merangkap Pengerusi GPN Sarawak Matthew Dominic Barin, Residen-Residen Bahagian serta Ketua-ketua Jabatan.
