Sarawak rancang eksport tenaga diperbaharui, perlukan kerjasama serantau bina grid tenaga Asean

KUCHING: Sarawak yang fokus kepada penghasilan tenaga diperbaharui sekarang turut merancang mengeksportkan tenaga berkenaan melangkui negara Malaysia.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak memerlukan kolaborasi daripada negara-negara jiran untuk membina grid tenaga Asean yang dicadangkan.

“Mengasilkan tenaga bukan hanya untuk keperluan industri tetapi juga untuk menjayakan rancangan pertanian,” katanya pada sesi dialog merasmikan Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia-Pasifik di sini, hari ini.

Moderator pada sesi dialog itu ialah Pengarah Eksekutif Agensi Tenaga Antarabangsa Emeritus dari Jepun, Nabuo Tanaka.

Abang Johari berkata, rancangan pertanian itu perlu diperkasaskan untuk menghasilkan makanan mencukupi untuk rakyat di rantau ini malah di dunia.

Menghasilkan tenaga diperbaharui seperti tenaga hidro, solar, dan biomas selain bersih juga mampu mengurangkan pelepasan karbon untuk menangani perubahan iklim.

Menurut Abang Johari lagi, Sarawak yakin menghasikan tenaga diperbaharui secara mampan kerana negeri ini banyak sungai dan air di samping masih diliputi hutan yang tebal.

Apa yang diperlukan untuk membangunkan tenaga diperbaharui itu, katanya, ialah menjalinkan kerjasama dengan negara-negara yang memiliki teknologi dan kepakaran.

Setakat ini, tambahnya, Sarawak telah mengeksport tenaga ke Kalimantan dan Sabah dan dalam masa terdekat akan mengeksporkannya ke Brunei dan Sinagpura.

Rancangan seterusnya ialah untuk mengeksport tenaga ke negara-negara Asean melalui rancangan grid Asean yang dicadangkan, katanya sambil menzahirkan rasa yakin rancangan itu dapat direalisasikan.