KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang mengkaji semula Ordinan Badan-badan Berkanun (Prosedur Kewangan dan Kira-kira) 1995 untuk memastikan peruntukannya kekal relevan dan berkesan menangani cabaran tadbir urus kontemporari dan pengurusan kewangan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Kerajaan Sarawak turut mengkaji kemungkinan memperkenalkan perundangan lebih luas dan kerangkakerja regulatori untuk mengukuhkan tadbir urus Syarikat Milik Kerajaan (SOE), akauntabiliti dan sistem pemantauan dengan sokongan dan nasihat Bank Dunia dan mengikut garis panduan amalan terbaik dunia.
Matlamat Kerajaan Sarawak adalah jelas – untuk membina entiti disokong teguh oleh kerangkakerja tadbir urus, akauntabiliti yang jelas dan sistem berkeupayaan melestarikan pencapaian tinggi dalam jangka panjang, katanya merasmikan Program Transformasi SOE Sarawak: Ikrar Tadbir Urus Baik, Pencapaian Tinggi dan Mewujud Nilai.
Bagi menyokong inisiatif itu, beliau menyambut baik usaha Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri yang menerbitkan tiga buku panduan untuk SOE.
Justeru, Premier Sarawak menegaskan, beliau mahu melihat SOE menjadi entiti utama yang kuat iaitu SOE yang baik dari segi kedudukan kewangan, diurus secara profesional, ditadbir urus dengan baik dan mewujudkan nilai jangka panjang.
Sekiranya SOE itu kukuh, beliau berkata, Sarawak boleh bergerak lebih pantas dan jika SOE itu lemah agenda pembangunan akan menjadi lembab dan atas sebab itu transformasi ke atas SOE itu sangat dperlukan.
Menurut beliau, secara menyeluruh keuntungan bagi kebanyakan SOE bertambah baik antara tahun 2023 dan 2024.
Syarikat di bawah Setiausaha Kewangan Negeri mencatatkan peningkatkan hampir 58 peratus dari segi pengisytiharan dividen, manakala jumlah badan berkanun berkaitan kerajaan mengisytiharkan dividen meningkat kepada 44 peratus, katanya.
Pencapaian itu, katanya, adalah satu perkembangan positif kerana mereka menunjukkan tadbir urus yang kuat, pengurusan lebih baik dan mengamal disiplin kewangan yang tinggi dan menyampai keputusan bermakna.
Kejayaan Temasek di Singapura, Syarikat Pelaburan Mubadala di Emeriah Arab Bersatu dan Khazanah Nasional, katanya, boleh djiadikan penanda aras untuk SOE di negeri ini mencapai kejayaan lebih besar.
