Pendidikan jadi pelaburan jangka panjang kesejahteraan masyarakat

DARO: Kejayaan agenda pendidikan di Sarawak memerlukan komitmen serta kerjasama berterusan antara kerajaan, sekolah, ibu bapa dan komuniti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap anak mendapat peluang pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang.

“Pendidikan merupakan pelaburan jangka panjang yang akan menentukan masa depan pembangunan negeri dan kesejahteraan masyarakat.

“Oleh itu, Kerajaan Sarawak sentiasa memberi perhatian terhadap pembangunan modal insan melalui penyediaan bantuan pendidikan, penambahbaikan kemudahan sekolah dan pelaksanaan pelbagai program yang menyokong kecemerlangan pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Kongsi Raya Gawai anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tebaang di sini, semalam.

Beliau menjelaskan, budaya saling menyokong antara institusi pendidikan dan masyarakat juga perlu diperkukuhkan kerana mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan generasi berilmu, berdaya saing dan berakhlak mulia.

Beliau turut menekankan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan penting sebagai penghubung antara sekolah dan komuniti dalam memastikan pembangunan pendidikan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan dana berjumlah RM9,000 kepada PIBG SK Kampung Tebaang.

Sumbangan itu katanya, merangkumi peruntukan bagi menyokong pelaksanaan aktiviti pendidikan sekolah serta bantuan penganjuran Majlis Kongsi Raya Gawai tahun ini.