Kestabilan politik Sarawak lancarkan agenda pembangunan

KUCHING: Kestabilan politik yang dinikmati Sarawak ketika ini diyakini mampu memastikan agenda pembangunan negeri terus berjalan lancar.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak berada dalam kedudukan yang lebih stabil berbanding situasi politik di Semenanjung yang masih belum menunjukkan pihak mana mempunyai kelebihan jelas untuk membentuk kerajaan.

“Keadaan itu meletakkan Sabah dan Sarawak dalam kedudukan penting untuk menentukan pembentukan Kerajaan Persekutuan kerana kedua-dua wilayah berkenaan memiliki kekuatan politik yang lebih konsisten.

“Bagi Sarawak, kita tidak menjangkakan banyak perubahan kerana kerajaan negeri kekal stabil. Apa yang berlaku di peringkat Persekutuan mungkin berbeza kerana ketika ini kita masih belum tahu siapa yang benar-benar mempunyai kelebihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Anugerah Konvensyen Mini Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2026 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Beliau berkata, mana-mana pihak yang berjaya membentuk kerajaan selepas PRU nanti perlu mengambil kira kepentingan Sabah dan Sarawak memandangkan peranan kedua-dua wilayah itu kini semakin signifikan dalam landskap politik negara.

Tambah beliau, sesiapa sahaja yang bakal menerajui negara selepas ini perlu melihat hubungan dengan Sabah dan Sarawak secara lebih realistik kerana kedua-dua wilayah berkenaan dijangka terus menjadi antara faktor utama dalam menentukan kestabilan politik Malaysia.