SARATOK: Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dianggarkan memperuntukan lebih RM60 juta bagi infrastruktur pertanian di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kalaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, setakat ini sebanyak RM2.2 juta projek infrastruktur pertanian terbabit sudah bermula dan banyak lagi bakal menyusul.
“Saya kira dalam lingkungan satu pertiga atau lebih RM60 juta akan digunakan untuk membina jalan ladang, jambatan dan pintu air,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau program Pengoperasian Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi menangani isu penduduk Sarawak yang tiada taraf kewarganegaraan di Dewan Pejabat Daerah Saratok, di sini.
Mohamad Duri berkata kesemua projek itu akan dilaksanakan Jabatan Kerja Raya, Majlis Daerah Saratok, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Pertanian.
